IPOH: Inisiatif TVET Mahir Kerja oleh kerajaan negeri Perak terus membuktikan peranannya sebagai pemangkin peluang kerjaya dan keusahawanan apabila ramai peserta berjaya meningkatkan taraf hidup melalui latihan kemahiran yang ditawarkan.
Bagi Pengurus JSS Tailoring Akademi, Toni Stella, program tersebut membuka perspektif baharu tentang peranan seorang tukang jahit.
“Saya tidak berapa gembira bila dipanggil tukang jahit. Apabila hanya menjahit apa yang pelanggan minta, ia sekadar mengikut arahan.
"Tetapi sebagai pereka, kita perlu berfikir di luar kotak, beri pendapat dan cadangan. Contohnya, bila pelanggan bawa kain, kita boleh nasihat atau syorkan rekaan yang sesuai. Itu peranan sebenar sebagai pereka fesyen” katanya dalam episod khas AWANI Pagi.
Bagi Mentor TVET Mahir Kerja, Zawiyah Daud pula mengakui perubahan besar yang dikecapinya selepas menyertai program itu.
“Program TVET ini banyak membantu saya dari segi kemahiran diri, pengurusan masa dan juga meningkatkan pendapatan yang luar biasa. Kini, pendapatan bulanan saya mencecah RM3,000 ke atas.
“Memang seronok sebenarnya. Walaupun saya memang seorang tukang jahit, tetapi banyak teknik baharu yang saya belajar, berkongsi teknik menjahit dengan rakan-rakan lain. Jadi maknanya kita dapat banyak ilmu,” katanya.
Program TVET Mahir Kerja yang diterajui Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) mula diperkenalkan pada 2021 dengan menawarkan pelbagai kursus mengikut acuan industri.
Zawiyah kini bukan sahaja mahir menjahit pelbagai jenis pakaian wanita dan kanak-kanak, malah menerima tempahan sulaman pukal serta menawarkan perkhidmatan pengubahsuaian pakaian.